Pelakon Roy Azman meluahkan rasa syukur apabila dia dan keluarga terselamat selepas kenderaan yang dinaiki tiba-tiba terbakar pada Ahad.
Kata Roy atau nama lengkap Zairosminan Abdul Rahman, 53, kenderaan tersebut sudah dihantar untuk pemeriksaan di bengkel sebelum dia sekeluarga menaikinya untuk makan malam di Puncak Alam, Selangor.
Pelakon filem Sembilu itu turut memberitahu, dia menyedari keretanya terbakar selepas beberapa dihon oleh pengguna jalan raya lain sekitar pukul 11 malam.
“Saya tidak nampak api itu kerana ia berada di bahagian bawah kereta. Sampai ada beberapa kereta hon saya mula lihat ada api.
“Ketika cuba berhentikan kereta, brek kaki pula tidak berfungsi dengan baik. Jadi, saya terpaksa menggunakan brek tangan.
“Sukar untuk memperlahankan kereta dengan brek tangan, namun syukur semuanya selamat dan kereta juga tidak rempuh pembahagi jalan. Jika tidak bayangkan apa akan berlaku jika kereta terbakar dan merempuh pula pembahagi jalan,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di Instagram.
Malah Roy turut bersyukur apabila isteri dan anak bongsunya sempat menyelamatkan diri dalam insiden terbabit.
Pada masa sama, Roy turut mengucapkan terima kasih kepada peminat dan individu yang prihatin terhadap nasibnya sekeluarga.