Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nvidia Corp, Jensen Huang dijangka membuat lawatan sulungnya ke Malaysia dalam tempoh masa terdekat.
Jemputan kepada pihak media bagi menghadiri sesi meja bulat dengan Huang dijadualkan pada Jumaat ini.
Bagaimanapun tidak diperincikan mengenai tujuan utama sesi lawatan Huang ke Malaysia, namun tidak menolak kehadirannya dapat menarik kumpulan pelabur asing untuk mengintai peluang ekonomi negara.
Usahawan warganegara Taiwan-Amerika Syarikat itu juga merupakan pengasas gergasi cip grafik yang berpangkalan di Amerika Syarikat ( AS) dan seorang tokoh besar teknologi terkemuka dunia.
Malah figura yang sering muncul di depan khalayak dengan mengenakan jaket kulit hitam itu turut dinamakan sebagai 100 individu berpengaruh dalam bidang teknologi kecerdasan buatan (AI) oleh Majalah Time pada tahun ini.
Nvidia menyediakan teknologi yang menguasakan aplikasi permainan video, pusat data, aplikasi AI, serta AI generatif.
Pada pertengahan 2023, ia menjadi syarikat cip pertama di dunia yang melanggar permodalan pasaran AS$1 trilion.
Ini termasuk daripada syarikat cip lain yang berpangkalan di AS, seperti Texas Instruments, Micron dan Intel.
Satu lagi perkembangan yang perlu diberi perhatian ialah pada Mac tahun ini, YES 5G YTL Communication Sdn Bhd bersama Nvidia, membawa perkhidmatan permainan awan GeForce NOW Nvidia ke Malaysia. YTL Communications adalah 60% dimiliki oleh YTL Power International Bhd.
Untuk rekod, Nvidia merupakan syarikat teknologi utama dunia yang mencatat nilai pasaran saham lebih tinggi berbanding Tesla.