Penyanyi Kaka Azraff menyifatkan insiden yang berlaku antara dengan syarikat rakaman, Warner Music Malaysia sebagai satu jihad kecil terhadap perjuangannya membantu menyebarkan mesej positif kepada masyarakat.
Meskipun Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 34, mengakui berasa terkilan dengan insiden penamatan kontrak berkenaan yang dibuat secara tiba-tiba sedangkan masih berbaki beberapa tahun.
Kata penyanyi itu, dia mengharapkan agar peminat akan bersama dan akan terus memberikan sokongan terhadap kerjayanya.
“Saya harap anda akan bersama Kaka, dan bersama terhadap solidariti terhadap Palestin.
“Saya tengok dari sudut yang positif sebab apa yang Kaka buat ini untuk saudara kita di sana, pada saya ini seperti jihad kecil daripada saya.
“Ini merupakan permulaan untuk Kaka berdiri atas kaki sendiri, Insya-Allah Kaka akan cuba terus positif dan terus sebarkan perkara positif kepada anda semua,” katanya kepada Malaysia Bangkit ketika ditemui pada majlis sidang media khas di Petaling Jaya, Selangor pada Rabu.
Sementara itu, penyanyi lagu Bawaku Pergi itu mengharapkan agar syarikat rakaman akan memberikan penjelasan mengenai punca menamatan kontraknya.
Kaka menerima notis penamatan kontrak pada 1 Disember oleh pihak pengurusan Warner Music Malaysia yang akan berkuatkuasa pada 31 Disember depan.
Menerusi peguamnya daripada Tetuan Amelda Fuad Abi & Aidil memaklumkan tiada sebarang sebab munasabah yang telah diberikan oleh pengurusan Warner Music Malaysia di dalam notis penamatan tersebut.
“Maka mereka (Warner Music Malaysia) diminta untuk memerjelaslan perkara ini, adakah benar penamatan adalah disebabkan mesej secara langsung (Direct Message) Kaka yang bersimpati dan bersolidariti dengan rakyat Palestin.
“Sekiranya benar, maka sila nafilan dan beri sebab mengapa penamatan kontrak Kaka telah diputuskan demikian,” katanya.
Terdahulu muncul khabar angin mengatakan kontrak Kaka dengan syarikat berkenaan ditamatkan berpunca daripada mesej secara langsung yang dihantar Kaka kepada pelakon Australia, Nathaniel Buzzolic.
Perkara itu sebagai tindakan balas video propaganda Israel yang dikongsikan oleh pelakon terbabit di akuan Instagram miliknya.