Syarikat rakaman, Warner Music mengesahkan penamatan kontrak penyanyi Kaka Azraff berikutan kelantangannya mengenai isu Palestin.
Warner Music dalam satu kenyataan berkata, mereka sentiasa menyokong hak kebebasan bersuara dalam kalangan artis naungannya, namun keputusan harus dibuat terhadap tindakan penyanyi, Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff, 34,
“Kaka adalah seorang artis yang sangat berbakat, tetapi malangnya kami terpaksa berpisah dengannya disebabkan penggunaan bahasa tertentu dalam mesej langsung (DM) yang dipaparkan dalam talian.
“Walaupun kami dengan teguh memperjuangkan hak kebebasan bersuara oleh artis di bawah naungan kami, namun sesiapa yang bertindak dengan cara sedemikian, tanpa mengira kumpulan, bangsa atau agama, kami akan turut membuat keputusan yang sama,” katanya.
Bagaimanapun pengesahan tarikh tamat kontrak terbabit tidak dinyatakan.
Baru-baru ini, Kaka didakwa bakal digugurkan daripada kontrak sehingga 31 Disember ini dan minta diberikan masa sebelum dapat mengeluarkan sebarang kenyataan.
Menurut sumber, kontrak antara penyanyi terbabit dengan Warner Music sepatutnya berakhir pada April 2024.
Sebelum ini, Kaka memaklumkan mengirim mesej langsung (DM) mengecam pempengaruh dan pelakon Australia yang pro-Israel, Nathaniel Buzolic.
Profilnya kemudian dikongsi sebuah laman sosial di bawah nama Jew Hate Database yang turut menyenaraikan nama Kaka sebagai antisemitik.