Mayat disimen dalam kolah: Mangsa maut akibat tekanan pada leher

Mayat wanita yang ditanam dan disimen dalam kolah air di sebuah rumah sewa di Kampung Pendamar, Pandamaran, Klang, Selangor pada Ahad lalu dipercayai meninggal dunia akibat tekanan pada bahagian leher.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, berkata hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Shah Alam hari ini mendapati umur mangsa dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun.

“Pakar forensik tidak dapat memastikan jangka masa kematian mangsa berikutan proses pereputan mayat menjadi lambat bagi mayat yang berada dalam persekitaran seperti mana ditemui.

“Siasatan mendapati, punca kematian mangsa adalah tekanan pada leher (compression to the neck). Setakat ini, identiti mangsa juga masih belum dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, bagaimanapun, siasatan masih berjalan dan setakat ini 10 individu sudah diambil keterangan.

“Sehingga kini, pegawai penyiasat sudah merakam percakapan 10 orang saksi dan siasatan dijalankan bagi mengenal pasti individu-individu yang terbabit dan boleh membantu siasatan.

“Bantuan kedutaan dan Interpol juga dipohon bagi mengesan dua suspek lelaki warga asing yang dikenal pasti iaitu Ranjit Singh dan Manjeet Singh.

“Semalam seorang lelaki warga asing berusia 53 tahun ditahan reman tujuh hari sehingga 11 Disember ini,” katanya.

Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu supaya menyalurkan terus kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Media sebelum ini melaporkan, penemuan mayat wanita dewasa disimen di kolah mandi sebuah rumah selepas pemilik rumah membuat laporan polis.

Polis meminta bantuan pihak bomba memecahkan simen kolah berkenaan dan mengeluarkan mayat mangsa.

Anda Mungkin Berminat