Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat keputusan untuk memecat Ahli MKT UMNO, Isham Jalil pada Rabu.
Perkara itu dimaklumkan seorang pemimpin UMNO yang turut hadir pada mesyuarat MKT UMNO, namun meminta namanya tidak disiarkan lapor Berita Harian.
Mesyuarat MKT UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, turut dihadiri timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden UMNO, berlangsung selama kira-kira dua jam.
Isham sebelum ini beberapa kali mengkritik pendirian diputuskan MKT UMNO berkenaan kerjasama dengan DAP di bawah Kerajaan Perpaduan, yang dilihat bertentangan dengan pendirian parti sebelum ini, dalam usaha memperkukuh kerajaan ketika ini.
Sementara itu, Ahli MKT, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii yang enggan mengesahkan tindakan dibuat MKT UMNO itu sebaliknya mendakwa, Isham sendiri bertindak untuk seolah-olah mahu tindakan dikenakan terhadapnya.
“Bila dia sengaja mengundang untuk diambil tindakan, kalau mahu tindakan itu diambil untuk mempopularkan dia, itu satu tindakan yang tak bertanggungjawab,” katanya.
Beliau juga berkata, sebagai Ahli MKT, Isham seharusnya sedar akan tanggungjawabnya kepada parti dan mengelak dari mengambil sebarang tindakan yang dilihat sudah membelakangkan partinya.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tradisi dan peraturan parti yang diamalkan sejak 1946 adalah meletakkan kedudukan parti lebih tinggi daripada individu.
“Semua keputusan dasar parti ditentukan secara syura dan kolektif bukan individu. Dasar dan Hala-tuju parti hanya boleh diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi dan Perhimpunan Agong UMNO bukan individu atau mana-mana kepimpinan tertinggi termasuk Presiden.
“Pandangan berbeza dirai dalam mesyuarat, namun mesti menjunjung tinggi prinsip ‘decorum’ adab ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’. Memelihara ‘sumpah atas nama Allah’ menyimpan kerahsiaan mesyuarat,” katanya di Facebook.