‘Pecat atau letak jawatan Pengerusi Perbadanan Stadium’

UMNO bahagian Batu WP mendesak Pengerusi Perbadanan Stadium Datuk Hans Isaac dipecat atau meletak jawatan sebagai Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) kerana dilihat telah gagal menguruskan Stadium Bukit Jalil untuk perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Takzim (JDT) menentang Terengganu FC.

Kata Gulam Muszaffar, permohonan maaf yang dibuat oleh PSM tidak mencukupi dan perlu ada sikap tanggungjawab yang lebih serius kerana perkara ini melibatkan maruah serta imej negara terutamanya dalam bidang sukan.

Beliau turut meminta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk mengambil tindakan serius dan tidak memandang enteng terhadap isu tersebut.

“Sukan utama negara kita iaitu bola sepak. Amat memalukan dengan keadaan padang yang disajikan dan akan ditonton diseluruh dunia secara langsung (live).

“Menteri Belia dan Sukan perlu ambil tindakan dan jangan melihat perkara ini sebagai satu isu remeh.

“Pastikan calon penganti mesti mempunyai kepakaran di dlm bidang pengurusan stadium bukan seorang selebriti yang hanya mempunyai hubungan politik dilantik seperti Datuk Hans Isaac. Jangan dijadikan perlawanan akhir Piala Malaysia ini seperti program “Lawak Ker Der” sebab ianya mempunyai nilai intergriti, nostalgia & sejarah tersendiri yg telah berusia lebih 100 tahun kewujudannya sejak 1920,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, PSM membuat permohonan maaf atas isu kerosakan padang stadium selain mengakui tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membaiki dan mengembalikan padang ke tahap optimum selepas konsert Coldplay yang berlangsung pada 22 November lalu.