Setelah bertarung selama 11 minggu, penyanyi Jaclyn Victor akhirnya dinobatkan sebagai Juara All Stars Gegar Vaganza (ASGV) yang berlangsung secara langsung di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Ahad.
Pelantun lagu Gemilang itu berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM200,000 dan trofi bersama pakej percuti ke Switzerland sumbangan Kaki Jalan, pakej percutian di Hotel Royal Chulan Hotel London (Royal Chulan Hotels & Resorts) serta baucer dekorasi ruangan (Ritz Reka).
Kemenangan Jaclyn itu secara tidak langsung memecah tradisi program televisyen popular berkenaan apabila hanya mengumumkan pemenang tempat pertama sahaja.
Jaclyn menyanyikan lagu bertajuk When You Believe untuk persembahan solo berjaya mencuri hati juri sekali gus melayakkan dirinya untuk berada di posisi teratas dan mengetepi tujuh peserta lain.
Bagi persembahan duet lagu Sandarkan Pada Kenangan bergandingan dengan Datuk Jamal Abdillah mempersembahkan memperlihatkan kehebatan vokalnya dan keserasian dengan bintang jemputan.
Sementara itu, buat julung kali kesemua peserta akan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 setiap seorang.
Pemenang bagi Anugerah Bos Susu pula dimenangi oleh Naqiu sekali gus membawa pulang wang tunai RM10,000.
Berdasarkan persembahan, Jaclyn berjaya mencatat markah 80.10 peratus, Hardy Mirza (75.74 peratus), Nikki Palikat (73.18 peratus), Liza Hanim (72.34 peratus), Naqiu (72.18 peratus), Tomok (71.46 peratus), Azharina (69.64 peratus) manakala Siti Nordiana (61.14 peratus).
Dianggarkan lebih 10,000 penonton menyaksikan pertandingan nyanyian popular itu yang diadili oleh juri tetap Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat bersama juri jemputan, Ella.
Diacarakan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse itu turut disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria serta stro Ria HD.