Penyanyi, Ernie Zakri mengakui dirinya bersama tiga lagi komposer dan penulis lirik lagu Astana iaitu Omar K, Shazriq Azeman dan Syamel tidak teragak-agak untuk menarik diri daripada menyertai pertandingan Separuh Akhir Muzik Muzik ke-38 (SFMM38) yang mula berlangsung pada Jumaat.
Ernie berkata, sebagai komposer dan penyanyi lagu terbabit, dia tidak menerima sebarang kenyataan rasmi daripada bekas syarikat rakamannya, Rocketfuel Entertainment memaklumkan penggantian penyanyi, Nadeera yang akan menyampaikan lagu berkenaan di SFMM38.
“Saya mendapat perkhabaran lagu ini dicalonkan di SFMM38 dan lagu ini juga mendapat penyanyi gantian menggantikan saya sebagai penyanyi asal lagu Astana.
“Ini adalah di luar pengetahuan saya sebagai penyanyi asal dan komposer. Saya tidak mendapat sebarang maklumat atau surat rasmi daripada mereka.
“Jika perkara ini berterusan saya dan tiga komposer lain berhak tarik diri daripada menyertai SFMM38,” katanya pada Khamis.
Sebelum ini, nama Nadeera disebut sebagai pengganti Ernie untuk menyanyikan lagu Astana mencetuskan pertikaian dalam kalangan peminat.
Bagaimanapun, Rocketfuel dalam satu perkongsian menjelaskan keputusan terbabit dicapai atas persetujuan Ernie yang memutuskan untuk tidak menyanyikan lagu terbabit.
Tidak berhenti di situ, Ernie tampil menafikan dakwaan yang dikeluarkan bekas syarikat rakamannya itu.
Ernie yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman Universal Music berkata, apa yang menjadi halangan untuk mempersembahkan lagu itu disebabkan terdapat beberapa terma perbincangan yang belum selesai antara pihak Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Media Prima Berhad (MPB).
Baca juga: