Penyanyi, Ernie Zakri mengesahkan dia bakal menyanyikan sendiri lagu ciptaannya, Astana pada saingan hari kedua Separuh Akhir Muzik Muzik ke-38 (SFMM 38) pada Sabtu.
Pengumuman itu sekali gus menamatkan spekulasi bakal menarik diri daripada menyertai pertandingan itu selepas dikatakan tidak menerima sebarang kenyataan rasmi daripada bekas syarikat rakamannya, Rocketfuel Entertainment untuk menggantikan posisinya dengan penyanyi lain iaitu Nadeera.
Ernie dalam satu kenyataan hari ini berkata, dia lega apabila dapat menyanyikan lagu Astana.
“Seperti yang diperkatakan sebelum ini, saya selaku penyanyi asal dan komposer lagu ini sudah tentu mahu menyanyikan lagu ini. Mana mungkin tidak. Malah, tidak pernah sekali saya berkata atau mengeluarkan kenyataan tidak mahu dan tarik diri.
“Jadi, selepas melalui proses perbincangan yang panjang antara semua pihak, Universal Music Malaysia pun tidak pernah menghalang saya untuk menyanyikan lagu iniay. Sa dengan penuh gembira akan menggalas sendiri tanggungjawab untuk mempersembahkan lagu Astana.
“Terima kasih sekali lagi kepada pihak pengurusan saya yang sentiasa memahami dan percaya dengan bakat saya,” katanya.
Sementara itu, Universal Music Malaysia yang mewakili Ernie berkata, perkara itu diputuskan selepas pihak Rocketfeul menghubungi mereka.
“Rocketfuel ada menghubungi kami untuk berbincang perkara ini. Selepas mengambil kira banyak perkara selain tidak mahu membiarkan isu ini berlanjutan, jadi Universal Music Malaysia bersetuju dan membenarkan Ernie selaku penyanyi asal dan komposer lagu Astana untuk membuat persembahan.
“Berhubung terma perbincangan yang belum selesai antara pihak Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Persatuan Penerbit Malaysia (MPA) dengan Media Prima Berhad (MPB), pihak RIM menyerahkan perkara ini kepada kami di Universal Music Malaysia untuk membuat keputusan.
“Pada masa sama, kami tidak mahu isu ini terus berpanjangan dan diperdebatkan. Diharap pihak terbabit segera mencari penyelesaian terbaik,” katanya.
Terdahulu, RIM dan MPA dalam satu kenyataan berkata, mereka masih dalam rundingan dengan MPB mengenai terma dan syarat pencalonan lagu dalam program Muzik Muzik yang disiarkan di TV3.
Malah pengumuman Nadeera sebagai pengganti Ernie menerusi lagu Astana mengejutkan ramai pihak terutama dalam kalangan peminat dan Ernie sendiri.
Lagu Astana diciptakan Ernie bersama Omar K, Syamel dan Syazriq Azeman.
Baca juga: