Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan sebanyak 5,041 kompaun bernilai RM1.25 juta sepanjang November lalu atas kesalahan merokok.
Perkara tersebut dinyatakan oleh kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.
Dalam kenyataan pada Jumaat, Dr Muhammad Radzi memaklumkan sejumlah 7,772 notis kesalahan dikeluarkan dari 20,976 premis yang dilawati melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.
Lapor Harian Metro, bagi tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 yang bertujuan mencegah dan mengawal penyakit demam denggi, Dr Muhammad Radzi berkata 3,685 kompaun bernilai RM1.84 juta sudah dikeluarkan dengan purata RM500 bagi setiap kompaun.
Dr Muhammad Radzi berkata sebanyak 282 kes didaftarkan untuk tindakan mahkamah dan dalam masa yang sama sebanyak 75 kes sudah disabitkan kesalahan dengan jumlah denda RM96,850.
Bagi tindakan penguatkuasaan Akta Makanan 1983 pula, Dr Muhammad Radzi berkata sebanyak 4,751 premis makanan telah diperiksa pada bulan lalu dan sebanyak 154 premis makanan dikenakan perintah penutupan sementara di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
“Tindakan penutupan sementara premis makanan yang dikuatkuasakan oleh KKM adalah sebagai suatu langkah menjamin kebersihan premis serta makanan yang dihidangkan,” katanya.
Baca juga: