Konflik peperangan mengakibatkan penduduk Gaza mengalami kesukaran untuk mendapatkan makanan disebabkan trak bantuan makanan tidak dapat memasuki ke wilayah tersebut.
Disebabkan itu, mereka terpaksa mengemis sehingga perlu membayar lebih 50 kali ganda semata-mata untuk mendapatkan setin kacang dan menyembelih keldai untuk menyara keluarga.
Tindakan tentera Israel terus menggempur Semenanjung Gaza konon ingin memusnahkan Hamas menyebabkan hampir mustahil untuk konvoi bantuan mengagihkan makanan kepada penduduk yang dirundung kebuluran.
Pejabat kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, pengagihan bantuan terhad dilakukan di Rafah, berhampiran sempadan Mesir, yang kini menempatkan separuh daripada 2.3 juta penduduk Gaza.
“Pengagihan bantuan di Gaza sebahagian besarnya telah dihentikan, disebabkan oleh pertempuran sengit dan sekatan ke atas pergerakan di sepanjang jalan utama,” katanya.
Ketua agensi PBB untuk pelarian Palestin (UNRWA) berkata penduduk yang kelaparan terpaksa menghentikan trak bantuan untuk mengambil makanan dan memakannya dengan segera.
Utara Gaza menanggung beban terbesar serangan tentera Israel semasa fasa pertama perang antara 7 Oktober dengan tempoh bermulanya pemberhentian sementara perang pada 24 November.
Namun, pertempuran sengit yang disambung menyebabkan bantuan kemanusiaan terhalang sama sekali sejak pemberhentian sementara perang berakhir pada 1 Disember.
Youssef Fares, seorang wartawan dari Jabalia di utara Gaza, berkata bahan makanan seperti tepung kini begitu sukar didapati dan jika ada, harganya meningkat 50 hingga 100 kali ganda berbanding sebelum perang.
“Pagi ini saya pergi mencari sebuku roti… tetapi saya tidak menemuinya. Apa yang tinggal di pasaran ialah gula-gula untuk kanak-kanak dan beberapa tin kekacang yang telah naik 50 kali ganda harganya,” tulisnya dalam catatan di Facebook.
“Saya lihat seseorang sedang menyembelih seekor keldai untuk diberi makan kepada ahli keluarganya,” katanya. – Agensi
Baca juga: