Suami ‘cemburu buta’ ditahan pukul isteri hingga maut guna dumbel

Lelaki yang ditahan kerana disyaki memukul isterinya sehingga maut dengan menggunakan dumbel direman tujuh hari bermula pada Sabtu (hari ini).

Perintah reman sehingga 22 Disember dibenarkan Timbalan Pendaftar, Saidatul Akmar Suberi terhadap lelaki yang tidak mempunyai kerja tetap itu selepas permohonan dikemukakan polis hari ini.

Terdahulu, lelaki berusia 38 tahun tiba di perkarangan Mahkamah Shah Alam dengan memakai pakaian lokap itu diiringi pegawai dan anggota polis pada 9.20 pagi.

Semalam, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, memaklumkan seorang wanita maut dipercayai dipukul menggunakan dumbel oleh suaminya akibat cemburu di sebuah rumah di Jalan Sungai Congkak awal pagi Jumaat lapor Berita Harian.

Beliau berkata, polis menerima laporan berkaitan kejadian itu pada 5.33 pagi oleh suspek sendiri yang mengatakan isterinya mengalami sawan lalu membawa mangsa ke Hospital Shah Alam kerana tidak sedarkan diri.

Katanya, hasil pemeriksaan awal doktor ke atas wanita berusia 33 tahun itu mendapati terdapat kecederaan di beberapa bahagian tubuhnya sebelum siasatan lanjut mendapati mangsa dipukul oleh suspek akibat cemburu di rumah mereka sebelum dibawa ke hospital.

Susulan itu katanya, suspek ditahan di Hospital Shah Alam sekitar 12.49 tengah hari, semalam untuk siasatan lanjut.

Mohd Iqbal berkata, hasil ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine serta mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes pukul dan dadah.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat