Sebahagian pekerja warga asing di kuarters ladang kelapa sawit, Bukit Perak, Pendang, Kedah yang sedang nyenyak tidur terkejut apabila kediaman mereka diserbu oleh penguat kuasa Jabatan Imigresen awal pagi Sabtu.
Disebabkan itu terdapat beberapa pekerja asing yang disyaki tidak mempunyai dokumen melarikan diri di kawasan padang berhampiran kuarters dalam operasi sekitar pukul 1.30 pagi.
Dalam operasi itu, seorang pekerja asing warga Myanmar cedera di lutut kiri dan mengadu sakit dada selepas terjatuh ketika cuba melarikan diri.
Bagaimanapun, dia berjaya ditahan dan diberi rawatan oleh pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) sejurus selepas itu.
Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, operasi Ops Mega Bersepadu yang turut disertai pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kedah serta APM itu turut dibantu Imigresen Perlis dan Perak bermula jam 12 tengah malam hingga 3 pagi berdasarkan maklumat orang awam dan risikan.
Beliau berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 66 pekerja asing yang terdiri daripada warga Myanmar, Indonesia dan Bangladesh.
“Hasil pemeriksaan, 35 daripadanya adalah lelaki Bangladesh, sembilan lelaki Myanmar dan lima wanita Myanmar manakala 17 lelaki warga Indonesia.
“Daripada jumlah itu, seramai 51 daripadanya ditahan dan terdiri 46 lelaki dan lima wanita yang disyaki melanggar peraturan-peraturan berkaitan di bawah Akta Imigresen.
“Pada pemeriksaan awal, kita lihat ada setengah tu tinggal lebih masa dan setengah lagi tiada dokumen lengkap dan mereka dibawa balik untuk siasatan lanjut,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Mohd Ridzzuan berkata, perintah reman akan dilakukan dan pihaknya akan memanggil majikan mereka untuk diambil keterangan.
Beliau berkata, dalam operasi itu, terdapat seorang wanita warga Myanmar yang hamil tujuh bulan dan pihaknya akan menguruskan wanita yang ditahan bersama suaminya itu.
“Kesemua tangkapan ini berusia antara 17 hingga 50 tahun dan ada yang tidak fasih berbahasa Melayu atau Inggeris.
“Kita akan panggil majikan untuk diambil keterangan dan jika didapati ada kesalahan, tindakan akan diambil,” katanya.
Baca juga: