Jika sebelum ini Malaysia menjadikan Jepun dan Korea Selatan sebagai negara contoh dalam sektor pembangunan ekonomi, namun kini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mula meluahkan minat untuk mula belajar dari China.
Perkara itu dinyatakan beliau dalam pertemuan dengan media Jepun, Asahi Shimbun dalam satu temu bula di Tokyo bagi sesi lawatan kerja ke negara Matahari Terbit itu.
“Kita perlu terbuka untuk menyemak semula sebarang dasar yang telah dilaksanakan selama 40 tahun,” katanya.
Beliau merujuk Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenalkan Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1982 bagi mempelajari strategi pemodenan ekonomi, terutamanya dari Jepun dan Korea Selatan.
“Saya tidak akan kata ‘Timur’ (dalam dasar itu) bermaksud Jepun dan Korea Selatan tanpa China. Sekarang, apabila kita menyebut ‘Pandang ke Timur’, ia adalah Timur (termasuk China),” katanya seperti dipetik oleh akhbar Jepun itu.
Tambah Anwar, teknologi digital, keselamatan siber dan isu-isu lain sedang mengubah dunia dan Malaysia perlu mengembangkan dasar yang berusia puluhan tahun itu, sambil memelihara aspek-aspek yang masih memberi manfaat.
Perdana Menteri melakukan lawatan kerja lima hari ke Tokyo mulai 15 Disember bagi menghadiri sidang kemuncak sempena ulang tahun ke-50 persahabatan dan kerjasama antara Jepun dan ASEAN.
Malaysia menyokong dasar luar yang ‘teguh dan bebas’ dan beliau berkata, negara akan berurusan dengan China bergantung kepada kepentingan Malaysia.
Anwar berkata, ketika beliau melawat Amerika Syarikat ketika Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023 baru-baru ini, beliau ditanya mengapa Malaysia terarah kepada China dan menjawab: “Kerana mereka melabur lebih banyak”.
Namun, Anwar berkata, Malaysia akan tetap tegas berunding dengan China berhubung pertikaian wilayah di Laut China Selatan dan tidak membenarkan sebarang tindakan sepihak oleh Beijing.
Beliau juga menyifatkan Jepun sebagai ‘rakan strategik yang sangat penting’, sambil menyatakan hubungan Malaysia dengan Jepun harus diperluas di bawah dasar Pandang Ke Timur seperti berkongsi etika dan teknologi Jepun.
Menurut Asahi Shimbun, Jepun pada 16 Disember lalu mengumumkan akan menyediakan peralatan untuk aktiviti amaran dan pengawasan bernilai 400 juta yen (AS$2.82 juta), termasuk bot penyelamat dan dron kepada tentera Malaysia di bawah program bantuan keselamatan rasmi.
Anwar menekankan, peralatan pertahanan itu untuk membantu Malaysia melindungi perairan wilayahnya dan ia tidak termasuk mana-mana kapal selam atau pesawat besar dan bantuan berkenaan adalah untuk keperluan keselamatan.
Semasa lawatan itu, Malaysia dan Jepun telah meningkatkan hubungan dua hala kedua-dua negara kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.
Baca juga: