Hasrat rakyat Gaza untuk mendapatkan bantuan kemanusiaan tidak kesampaian apabila undian draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa agar serangan di Gaza dihentikan untuk membenarkan akses bantuan kemanusiaan, ditangguhkan untuk kali kedua berturut-turut.
Menurut agensi media tempatan, Anadolu (AA), Amerika Syarikat (AS) masih belum yakin dengan draf resolusi tersebut yang seharusnya diundi pada Rabu.
Kenyataan yang dirangka oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE), itu menggesa agar penangguhan segera terhadap pertempuran untuk membolehkan akses kemanusiaan yang selamat tanpa halangan serta langkah segera ke arah menghentikan permusuhan secara berkekalan.
Menegaskan semula semua pihak yang terbabit dalam konflik mesti mematuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa, ia juga meminta agar mekanisme pemantauan PBB dilaksanakan segera.
Sebelum ini, Timbalan Duta AS ke PBB, Robert Wood memaklumkan kepada media, pihaknya masih berusaha menyiapkan teks resolusi itu dengan pemain lain.
AS memveto resolusi Majlis Keselamatan pada 8 Disember yang menuntut gencatan senjata segera untuk menghentikan pertumpahan darah di Semenanjung Gaza ketika jumlah kematian terus meningkat.
Serangan udara dan darat Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu membunuh lebih 19,450 rakyat Palestin.
Konflik itu menyebabkan Gaza musnah dengan separuh daripada perumahan di wilayah terkepung itu rosak atau ranap manakala hampir dua juta penduduk kehilangan tempat tinggal.
Baca juga: