Status sebagai pasangan pelakon popular tidak menghalang Aeril Zafrel dan Wawa Zainal yang juga ahli perniagaan untuk melaksanakan tanggungjawab dengan melakukan pembayaran zakat perniagaan sebanyak RM1.15 juta kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Kata Aeril atau nama lengkapnya, Suhairil Sunari, 35, jumlah tersebut merupakan hasil daripada perniagaan yang dijalankan pada tahun ini.
“Alhamdulillah, ini kewajipan yang perlu dilaksanakan. Kami bersyukur atas nikmat dan rezeki yang tidak pernah putus daripada Allah SWT.
“Ini juga berkat sokongan tanpa henti daripada semua pihak dan pelanggan setia kami. Semoga 2024 dan tahun seterusnya akan menjadi tahun yang lebih baik lagi buat kita semua,” katanya menurut Gempak.
Tambahnya, zakat yang dikeluarkan itu diharap dapat membantu golongan yang memerlukan selain menganggap sebagai berkongsi rezeki dengan mereka memerlukan.
“Dalam rezeki kita, insya-Allah ada rezeki orang lain juga. Semoga ini dapat membantu golongan yang memerlukan. Saya percaya, LZS adalah agensi terbaik dalam menguruskan perkara ini.
“Semoga usaha ini menjadi langkah awal dan pendorong buat orang lain juga. Percayalah, tidak miskin orang yang bersedekah di jalan Allah,” katanya.
Tahun lalu, Aeril Zafrel meraih penghargaan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) kerana melaksanakan bayaran zakat melebihi RM50,000.
Baca juga: