Cadang wajibkan pelitup muka, kerajaan perlu ambil langkah alternatif atasi peningkatan jangkitan Covid-19

Kerajaan perlu mempertimbangkan cadangan bagi mewajibkan pemakaian pelitup muka di kawasan tumpuan ramai sekiranya lima strategi yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menghadapi peningkatan angka kes Covid-19 kurang berkesan.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, langkah tersebut perlu diambil jika Malaysia masih mencatatkan peningkatan kes walaupun pelbagai usaha telah dilakukan.

Jelasnya, strategi diperkenalkan oleh KKM merupakan satu tindakan pantas untuk membendung penularan wabak berkenaan, tetapi kerajaan perlu mempunyai pendekatan lain andai usaha berkenaan tidak berhasil.

“Walaupun strategi berkenaan telah pun dipraktikkan tetapi kita mendapati kes Covid-19 terus meningkat maka saya mencadangkan kepada kerajaan untuk mewajibkan semula pemakaian pelitup muka di kawasan tumpuan ramai.

“Ini merupakan salah satu cara yang saya rasa berkesan untuk mengelakkan penularan Covid-19. Apabila kita berada tempat awam, risiko untuk dijangkiti dan menjangkiti adalah tinggi,” katanya lapor Berita Harian.

Sebelum ini, akhbar melaporkan, KKM mengumumkan lima strategi utama di bawah Pelan Pengurusan Covid-19 dalam menghadapi peningkatan mendadak kes COVID-19.

Antaranya, pengesanan awal kes Covid-19 dan varian SARS-CoV-2, pemerkasaan komuniti melalui amalan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, dan Seek), pemantauan fasiliti kesihatan, pengurusan dan kawalan kes Covid-19 terutamanya untuk melindungi golongan berisiko tinggi.

Seterusnya, pemerkasaan komuniti melalui komunikasi risiko yang berkesan dan pendigitalan sistem kesihatan dalam pengurusan pandemik melalui aplikasi MySejahtera.

Dalam pada itu, Lam Thye turut berkongsi empat saranan lain yang boleh orang ramai amalkan untuk mengekang penularan Covid-19 antaranya meningkatkan kekuatan daya tahan tubuh badan.

Katanya, apabila seseorang mempunyai imunisasi tubuh yang kuat maka sukar untuk mereka dijangkiti virus tersebut.

“Menyedari peningkatan kes yang semakin tinggi, kita perlu mendisiplinkan diri dengan mematuhi segala saranan daripada pihak berkuasa seperti membuat pemeriksaan kesihatan jika mempunyai gejala.

“Kemudian, kita juga hendaklah sentiasa berjaga-jaga dengan keadaan sekeliling. Sentiasa memakai pelitup muka jika berada di kawasan tumpuan ramai dan kumpulan sasar yang mempunyai imun rendah digalakkan untuk mengambil vaksin,” ujarnya.

Baca juga: