Laksana PBT untuk mereformasi tadbir urus Kuala Lumpur, bukan timbulkan provokasi

Cadangan untuk mengembalikan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di peringkat bandar raya Kuala Lumpur seharusnya tidak menimbulkan provokasi terhadap status quo persefahaman antara kaum di negara ini.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata, pemilihan ahli majlis tempatan itu nanti adalah sebagai pembuat keputusan untuk memampankan lagi infrastuktur ibu kota.

Menurutnya, perlaksanaan PBT ini adalah harapan untuk melancarkan lagi tadbir urus Kuala Lumpur.

“Sewaktu kami di barisan pembangkang, suara kami tak didengari oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Wilayah Persekutuan perihal masalah susun atur infrastuktur di Ibu Kota sehingga menyebabkan kesesakan trafik dan terlalu padat.

“Terlalu banyak kelulusan pembangunan yang bagi kami tidak patut dilaksanakan kerana sempit dan menjadikan trafik di sini (Kuala Lumpur) sesak serta sangat teruk,” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Tambah Teresa Kok, perlaksanaan PBT adalah untuk melancarkan kembali aliran trafik dan susun atur bangunan di Kuala Lumpur bagi memudahkan masyarakat setempat, tetapi malangnya mendapat tentangan hebat sehingga ada spekulasi mengatakan ini adalah provokasi DAP untuk mencetuskan ketidakharmonian antara kaum.

“Kalau lihat konteks yang dibicarakan oleh Lim Kit Siang, pelaksanaan PBT itu adalah impian beliau untuk melihat kebersamaan masyarakat dalam negara kita.”

“Tetapi (saya) sangat kecewa apabila ada yang melaporkan ini semua adalah rancangan untuk melantik bukan Melayu menjadi Perdana Menteri,” ujarnya.

Menurut beliau, pemilihan Perdana Menteri dalam kalangan orang bukan Melayu itu perlu mendapat sokongan daripada Yang Di Pertuan Agong dan juga daripada semua komponen parti, tapi ini tidak akan terjadi kerana negara kita kaum majoritinya adalah Melayu.

Teresa berharap spekulasi begini tidak ditimbulkan lagi seterusnya akan mengeruhkan lagi keadaan dan mencetuskan banyak kontroversi antara kaum agar dapat mencapai kebersamaan sesama masyarakat.

Dalam pada itu, Teresa hadir ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sri Petaling bagi penyerahan cek sumbangan kepada Ibu Pejabat Daerah Brickfields berjumlah RM200,000 bagi membantu dan menaik taraf perkhidmatan pihak polis di daerah tersebut.

Untuk rekod, sumbangan tersebut adalah berbentuk alatan dan perkakasan elektronik untuk kegunaan IPD Daerah Brickfields yang mana bukan untuk kegunaan peribadi dan akan didaftarkan sebagai hak milik kerajaan untuk disimpan dan diselenggara dengan baik.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat