Sanusi terima perintah injunksi, larangan keluar kenyataan fitnah terhadap PM

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilarang mengulangi dan menerbitkan semula kenyataan yang memfitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim di media sosial, laman web dan mana-mana platform sehingga kes saman difailkan Perdana Menteri terhadapnya diputuskan mahkamah.

Menurut Peguam Datuk S.N. Nair yang mewakili Anwar, Hakim Mahazan Mat Taib membenarkan permohonan inter-parte injunksi dipohon Pengerusi Pakatan Harapan itu pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian di Mahkamah Tinggi Alor Setar pada Selasa.

“Perintah injunksi itu bagi menghalang defendan (Muhammad Sanusi), kakitangan atau ejennya daripada mengulangi atau menerbitkan kenyataan-kenyataan serupa yang mempunyai kecenderungan untuk menggambarkan plaintif (Anwar) sama ada secara langsung atau dengan sindiran dalam mana-mana saluran media sosial defendan, laman web dan mana-mana platform lain sehingga pelupusan kes saman,” kata menurut Bernama.

Menurut Nair, mahkamah menetapkan 19 Februari 2024 untuk pengurusan kes di hadapan pendaftar menerusi e-Review.

Pada prosiding pada Selasa, Nair turut dibantu peguam Jaden Phoon Wai Ken manakala Muhammad Sanusi diwakili peguam Yusfarizal Yussoff dan Adam Luqman Amdan.

Pada hari sama, ditetapkan untuk keputusan permohonan itu selepas pihak-pihak terlibat selesai berhujah pada 16 Oktober lepas.

Anwar, 76, memohon perintah injunksi itu dalam kes saman difailkannya terhadap Muhammad Sanusi ketika berucap dalam satu kempen pilihan raya “Jelajah PN Best Tambun” tahun lepas.

Pada 13 Disember tahun lepas, Anwar menyaman Muhammad Sanusi, berhubung ucapan berbaur fitnah mengaitkannya dengan perlakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah “Jelajah PN Best Tambun”.

Anwar dalam pernyataan tuntutannya mendakwa kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud plaintif mendapat pengampunan diraja melalui penipuan dan kekal tidak diampunkan serta telah memperdaya Yang di-Pertuan Agong, seorang pembohong, tidak boleh dipercayai, tidak beretika dan mengkhianati mandat rakyat.

Menurut plaintif kenyataan itu dibuat dengan berniat jahat bertujuan untuk menghasut orang ramai dan menimbulkan kebencian peribadi terhadapnya dan PH semasa tempoh berkempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November tahun lepas.

Muhammad Sanusi dalam pernyataan pembelaannya berkata bahawa beliau tidak mempunyai apa-apa niat jahat dan memfitnah Anwar, sebaliknya mengkritik Ahli Parlimen Tambun itu bagi tujuan kempen PRU15.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat