Pasukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah melakukan tindakan pantas dengan membuat pemeriksaan terhadap sebuah restoran yang didakwa mengenakan caj harga sotong tidak munasabah kepada pelanggan.
Timbalan Pengarah KPDN Sabah, Zulfamy Mat Udi berkata, sepasukan penguat kuasa KPDN telah ke premis berkenaan untuk membuat pemeriksaan bagi mendapatkan kesahihan berita tular di media sosial.
“Antara tindakan yang dilakukan ialah memeriksa penandaan harga dan menyerahkan notis bertulis untuk premis menyatakan setiap kos yang terlibat sehingga harga tersebut ditawarkan,” katanya.
Menurut Sinar Harian, beliau memberi reaksi demikian ketika diminta mengulas isu tular berkenaan sekiranya laporan telah diterima dan tindakan daripada pihak KPDN Sabah.
Zulfamy berkata, beliau ketika ini masih menunggu laporan daripada pasukannya.
Sebelum ini media pada Rabu melaporkan seorang pengguna Facebook meminta orang ramai berhati-hati menjamu selera di sebuah restoran di pusat bandar Kota Kinabalu selepas dikenakan bayaran RM50 untuk seekor sotong dalam hidangannya.
Dalam hantaran di media sosial itu turut disertakan gambar sepinggan nasi berlaukkan sotong manis dan sayur bersama resit dengan jumlah keseluruhan makanan bernilai RM75.
Baca juga: