Tidak hadir tugas antara punca 35 polis Kelantan kena tindakan tatatertib

Seramai 35 pegawai dan anggota polis di Kelantan berdepan dengan tindakan tatatertib atas pelbagai kesalahan sepanjang tahun ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, jumlah itu menurun berbanding 70 anggota dan pegawai dikenakan tindakan tersebut pada tahun lalu.

Katanya, kesalahan paling tinggi membabitkan sembilan kes salah laku termasuk tidak hadir tugas.

“Kes disusuli pelbagai kesalahan jenayah sebanyak lapan kes dan penyalahgunaan dadah berjumlah tiga kes.

“Melihat kepada statistik ini, kes-kes tatatertib melibatkan polis menurun dan masih terkawal,” katanya memetik laporan Sinar Harian pada Khamis.

Beliau turut memberitahu, pihaknya melakukan pemantauan dan pengesanan awal jika kesalahan melibatkan dadah atau narkotik.

“Kami akan mengesan lebih awal seperti perubahan tingkah laku selain melakukan ujian saringan urin.

“Bagi kes-kes dadah, mana-mana anggota atau pegawai terlibat akan segera digantung tugas sementara siasatan diteruskan,” katanya.

Bagaimanapun, setakat ini tiada anggota polis yang dikenakan tindakan dibuang kerja sementara ada antaranya masih dalam siasatan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat