Trend peningkatan rakyat Malaysia melancong ke Thailand yang mencapai lebih 3 juta tahun ini berbanding 1 juta pada tahun lepas, mencetuskan kebimbangan khususnya bagi sektor ekonomi dan pelancongan dalam negara.
Penganalisis ekonomi Sekolah Perniagaan Putra, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, trend tersebut sudah lama wujud, namun perkara itu semakin mendapat sambutan sejak kebelakangan ini.
Perkara itu kerana wujudnya banyak tarikan di Thailand dengan tawaran harga yang jauh lebih murah berbanding dalam negara.
Gaya hidup rakyat juga meningkat dengan adanya keinginan untuk melancong ke luar negara dengan bajet yang kecil, berbanding membelanjakan wang yang banyak untuk melancong ke destinasi percutian tempatan.
Aktiviti pelancongan ke luar negara ini mengakibatkan aliran keluar mata wang negara yang boleh menjejaskan nilai Ringgit, namun Ahmed Razman berkata, perkara itu bukanlah isu serius.
“Meskipun nilai Ringgit jatuh, tidak semestinya ekonomi negara akan terjejas. Ini kerana lebih ramai pelancong asing akan melancong ke Malaysia ketika mata wang kita jatuh dan secara tidak langsung sektor pelancongan negara akan berkembang.
“Malaysia mengamalkan pasaran terbuka di mana kita akan bersaing secara sihat dengan negara lain dari segi ekonomi. Kita tidak boleh menyekat rakyat untuk hanya melancong di dalam negara demi membantu mengekalkan kestabilan ekonomi,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit pada Jumaat.
Ahmed Razman turut mencadangkan bahawa pengusaha industri pelancongan lebih kreatif untuk bersaing dalam mempromosikan pelancongan dalam negara.
“Pengusaha perlu mempromosikan sesuatu yang hanya ada di Malaysia dan tiada di negara lain untuk menunjukkan keunikan melancong di sini.
“Pengusaha juga boleh mencari cara untuk mengurangkan kos penginapan pelancong dalam negara. Sebagai contoh, sekiranya harga hotel di Malaysia agak mahal, mereka boleh membuat inovasi seperti mengadakan kawasan glamping ataupun inap desa (homestay) di kawasan pelancongan.
“Dengan melakukan inovasi sebegini akan menambah pengalaman pelancong ketika berada di dalam negara di samping mengurangkan kos operasi para pengusaha,” ujarnya.
Menjawab mengenai keadaan ekonomi di Malaysia, Ahmed Razman memberi pendapat bahawa ekonomi negara berada di tahap yang memuaskan secara amnya, namun masih tidak dapat dirasai oleh isi rumah di Malaysia.
“Isu inflasi dan pengangguran berada di tahap yang positif, ekonomi di Malaysia boleh dikatakan semakin pulih hari demi hari, tetapi rakyat masih belum merasai kesannya.
“Hal ini kerana lebih 18 ribu isi rumah di Malaysia berada di tahap miskin tegar, dan Paras Garis Kemiskinan Negara juga semakin meningkat kepada RM2,589 berbanding RM2,208 pada tahun-tahun sebelumnya,” tegas beliau.
Baca juga: