Tiga penjenayah meninggal dunia dalam kejadian dberbalas tembakan dengan sepasukan polis di Jalan SJ7, Taman Selayang Jaya, Selangor pada Jumaat.
Mereka yang maut terdiri daripada lelaki etnik Rohingya yang dipercayai aktif merompak sejak 2011.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ketika kejadian penjenayah bertindak agresif ketika ditahan anggota polis yang sedang membuat rondaan.
Jelasnya, anggota peronda terpaksa melepaskan tujuh das tembakan selepas suspek bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis, namun hanya mengenai pada kenderaan peronda.
“Selesai tembak menembak, anggota peronda mendapati terdapat tiga lelaki berlumuran darah dan sudah meninggal dunia serta menemui dua pucuk pistol jenis revolver dalam kenderaan terbabit.
“Dua daripada suspek mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) manakala dalang utama tidak mempunyai sebarang pengenalan diri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, pada Sabtu.
Menurut Kosmo, tambah beliau, suspek utama turut mempunyai 12 rekod jenayah dan pernah ditahan pada 2016 atas kesalahan pecah rumah dan dibebaskan pada 2017, sebelum bertindak melakukan rompakan menggunakan senjata api.
“Kumpulan itu dipercayai beroperasi dengan tiga ke empat anggota dan pihaknya sedang mengesan saki-baki suspek jika ada. Kes terbaru di Batang Kali, Hulu Selangor membabitkan kehilangan tiga utas jam Rolex dan dua utas jam Hublot bernilai RM445,000 pada 8 Disember lalu.
“Kita berjaya menumpaskan kumpulan samun warga Rohingya yang dipercayai aktif di enam negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang.
“Kumpulan ini memang dalam buruan polis dan ketika terserempak dengan pihak polis, kita percaya mereka sedang merancang untuk melakukan rompakan berdasarkan peralatan ditemui,” katanya.
Pada masa sama, polis turut sedang melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Kanun bagi mengenalpasti modus operandi sebenar dan mengesan saki-baki suspek terbabit.
Baca juga: