Israel terus serang Gaza tanpa sifat kemanusiaan

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meminta agar lebih banyak batuan disalurkan kepada penduduk Gaza meskipun rejim Israel meneruskan serangan ke atas bahagian utara wilayah itu.

Penduduk Gaza menyatakan bahawa rejim Israel terus menyerang dan memasuki lebih banyak kawasan di bandar Jabalia dengan serangan udara dan tembakan daripada kereta kebal.

Israel mendakwa Hamas sengaja meletakkan kenderaan mereka di kawasan umum untuk menjadikan orang awam sebagai perisai mereka. Bagaimanapun, perkara itu dinafikan oleh pejuang Hamas.

“Pasukan kami akan terus maju, dengan setiap kehilangan askar. Kami berhasrat untuk menghapuskan kehadiran Hamas sehingga tebusan diperolehi,” katanya.

Jurucakap IDF enggan memberikan komen mengenai laporan Palestin yang menyatakan bahawa tentera Israel telah memulakan serangan darat berhampiran Kerem Shalom, di bahagian timur laluan Rafah ke Mesir.

Israel menggesa penduduk meninggalkan kawasan utara Gaza, namun tentera terus mengebom bahagian tengah dan selatan enklaf pantai itu.

“Mereka mengarahkan penduduk untuk berpindah ke Deir al-Balah (bandar Gaza tengah), tetapi serangan udara terus berlaku tanpa mengira waktu siang atau malam,” kata seorang doktor dan bapa kepada enam anak, Ziad, kepada Reuters.

Berdasarkan maklumat Kementerian Kesihatan Palestin, sekurang-kurangnya 201 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh dalam tempoh 48 jam yang lalu, meningkatkan jumlah kematian menjadi 20,258 dalam konflik 11 minggu itu.

Hampir semua 2.3 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal, sementara ribuan mayat lagi dipercayai terperangkap di bawah runtuhan.

Bimbang dengan kadar kematian yang semakin meningkat, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden berunding dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengenai operasi ketenteraan Israel di Gaza.

Menurut Rumah Putih, Biden dan Netanyahu berbincang mengenai objektif peperangan di samping memastikan pembebasan tebusan yang ditahan.

Sekutu utama Israel menyuarakan kebimbangan mereka terhadap peningkatan jumlah korban dan krisis kemanusiaan di Gaza, walaupun mereka tetap mengukuhkan sokongan kepada Israel.

Biden enggan mendedahkan rundingannya dengan Netanyahu, menegaskan bahawa perbualan itu bersifat peribadi.

“Namun saya tidak meminta gencatan senjata,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat