Bangunan pencakar langit kedua tertinggi di dunia, Menara 118 dijangka akan dilancarkan pada Januari tahun hadapan.
Menurut Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Ahmad Zulqarnain Onn, kemasukan penghuni akan dibuat secara berperingat dalam tempoh masa terdekat, sebaik sahaja mendapat kelulusan akhir mendudduki premis bangunan itu.
“Menara sudah siap. Insya-Allah kumpulan pertama akan berpindah masuk sebelum akhir tahun ini. Dek pemerhatian akan dibuka pada separuh kedua 2024.
“Stadium Merdeka pula sedia pada pertengahan tahun depan,” katanya.
Beliau memberi reaksi demikian ketika mengulas tentang perkembangan terkini pembinaan Menara 118 milik Permodalan Nasional Berhad (PNB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd.
Untuk rekod, Merdeka 118 yang menampilkan menara canggih setinggi 678.9 meter akan menjadi mercu tanda baharu baharu ibu kota dan menjadi bangunan kedua tertinggi dunia selepas Burj Khalifa di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.
Bangunan tersebut bakal dilengkapi dengan pejabat bertaraf premium, hotel mewah, pusat membeli-belah moden, kediaman, tapak warisan, muzium dan masjid.
Menara 118 terdiri daripada kira-kira 18,000 panel kaca yang membentuk penampilan luar kristal menara yang direka bentuk oleh Fender Katsalidis dari Melbourne, Australia.
Pembangunan Merdeka 118 yang menelan kos RM5 bilion itu mempunyai 3.1 juta kaki persegi ruang lantai dan dek pemerhatian tertinggi di Asia Tenggara, setinggi 500 meter.
Penyewa utama lain ialah hotel Park Hyatt bertaraf lima bintang, yang menduduki 17 tingkat (dari aras 100 hingga 117) dengan 252 bilik.
Baca juga: