60 rumah tenggelami banjir di Kampung Tersang

Penduduk Kampung Tersang, Rantau Panjang, Kelantan meluahkan rasa terkilan setelah melihat sejumlah 60 buah rumah ditenggelami banjir hingga ke paras bumbung.

Suriani Daud, 50, menyatakan perasaan sedihnya setelah melihat keadaaan rumahnya kini.

“Saya dan suami pergi melihat keadaan rumah dan alangkah terkejutnya apabila kami hanya dapat melihat bahagian bumbung sahaja.

“Hancur hati kami melihat keadaan rumah kami, bahagian lain semuanya sudah ditenggelami banjir.

“Hanya dokumen penting sahaja yang dapat diselamatkan, barangan yang lain sudah habis rosak,” terang Suriani.

Suriani turut memberitahu bahawa bukan rumahnya sahaja yang berada dalam keadaaan begitu, malah sejumlah 60 buah rumah lain turut terjejas dengan keadaan yang sama sepertinya di Kampung Tersang.

Penduduk Kampung Tersang yang lain, Mohd Irwan Faizal, 40, merupakan pemilik rumah yang paling tinggi di kampung tersebut namun tetap terjejas dengan banjir.

“Rumah saya paling tinggi di kampung ini dan turut ditenggelami hingga nampak bumbung sahaja.

“Dari semalam saya lihat banyak barangan rumah yang terapung dan sejujurnya saya sedih melihat keadaan tersebut,” katanya, memetik kepada laporan Berita Harian.  

Irwan turut menyifatkan banjir kali ini sama teruk dengan banjir yang melanda pada Disember dan Februari lalu.

Walaupun sudah kali ketiga menghadapi situasi banjir ini, Irwan masih tidak boleh membayangkan kehidupan penduduk selepas banjir tersebut surut nanti.

Baca juga: