Aisyah Hijanah dapat 100 peratus harta sepencarian dengan Alif Teega

Pempengaruh popular, Aisyah Hijanah, 25, mendedahkan dirinya berjaya memiliki 100 peratus harta sepencarian bersama suami, Mohd Hazalif Mohd Hazani atau lebih dikenali sebagai Alif Teega, 29 pada Isnin.

Jelasnya, hal itu termasuklah pegangan pengurusan perniagaan tudung, rumah, kereta termasuk beberapa aset lain.

Katanya, setiap wanita yang menjalani kehidupan rumah tangga poligami perlu bersabar dan tidak perlu terburu-buru dalam membuat keputusan sekiranya perkara itu melibatkan hak dalam perkahwinan.

“Jangan buat keputusan apabila marah ataupun sedih kerana ia akan merosakkan semuanya.

“Catat semua aset bersama dan buat perjanjian khas. Kalau mampu lantik peguam, silakan.

“Poligami bukan sesuatu yang haram, tetapi bukan semua wanita boleh menerima keadaan ini,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.

Aisyah turut memberitahu, perkara tersebut dilakukan bukan kerana tamak mahupun gila harta, tetapi memperjuangkan masa depan anak-anak.

Katanya, isteri tidak akan terlepas daripada pelbagai ujian bersama suami, namun perkara itu tidak menghalang mereka daripada terus mempertahankan hak sedia ada.

“Aisyah doakan agar mana-mana wanita yang diuji dengan perkara yang sama diberikan kekuatan dan ketenangan hidup bersama suami serta anak-anak.

“Terima kasih @alifteega kerana beri kerjasama yang baik dan beri hak sepatutnya. Semoga ALLAH mudahkan urusan,” ujarnya.

Sebelum ini, kisah rumah tangga Aisyah menjadi perhatian selepas mendedahkan dirinya dimadukan oleh suami saat sedang hamil lima bulan.

Jelasnya, kejadian tersebut merupakan ujian terhadap dirinya yang sentiasa berdoa agar berpeluang dimasukkan ke syurga tanpa hisab.

Baca juga: