‘Pendapatan bulanan memang tiada langsung’, peniaga reda kedai makan ditenggelami air

Pasangan suami isteri yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Laloh, Kuala Krai, Kelantan reda gerai jualan makanan mereka musnah dalam kejadian banjir di negeri itu.

Kata Siti Hajar, 43, perniagaan kedai makan itu menjadi sumber pendapatan utama mereka sekeluarga mereka sekeluarga termasuk empat orang anak.

“Barang niaga memang kena simpan semuanya, ada yang diletakkan di tingkat atas rumah dan ada yang kita bawak masuk dalam kereta.

“Paras air naik secara mendadak berpunca daripada limpahan tebing pada pukul 2.30 pagi Selasa,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit pada Khamis.

Susulan paras air yang naik mendadak mengakibatkan gerai yang terletak di Kampung Loloh itu ditenggelami air dan menyukarkan urusan perniagaan untuk dilakukan.

Keadaan lebih mendesak apabila tahap kesihatan suaminya, Muhd Sulaiman, 43, mengalami luka dan bernanah pada kaki akibat kencing manis.

“Pendapatan bulanan memang tiada lansung, kami tawakal dan berharap penuh pada rezeki orang lain melalui sumbangan bencana,” katanya.

“Setakat hari ini, kami bersyukur sebab masih ada bekalan air bersih yang boleh digunakan sebagai air minuman dan untuk cuci luka kaki suami.

“Mujur kami dah buat persiapan awal dari segi ubat-ubatan dan barang-barang penting untuk dibawa sekali ke PPS,” katanya.

Siti Hajar dimasukkan di PPS pada 26 Disember yang mengambil masa 3 minit dari rumahnya.

Terdahulu rumah Siti Hajar dinaiki air pada paras dada orang dewasa namun bersyukur tiada sebarang tragedi ngeri berlaku ekoran banjir yang melanda.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat