Seorang petani tidak mampu berbuat apa-apa selain reda dengan ketentuan Tuhan apabila tanaman kacang panjang miliknya ditenggelami banjir di Kampung Sayur, Bukit Nikmat, Pahang.
Kata, Asrul Abd Hamid, 49, tanaman kacang panjangnya akan mengeluarkan hasil dalam tempoh dua minggu, namun susulan hujan berlarutan selama tiga hari, Asrul terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM30,000.
“Hampir semua pokok ditanam yang sudah mula menjalar di tali rambatan itu musnah kerana ditenggelami air sedalam dua meter sejak tiga hari lalu.
“Pendapatan yang mampu saya peroleh dalam dua minggu lagi kira-kira RM25,000 ke RM30,000 tapi semuanya dah musnah dan perlukan modal untuk bersihkan balik tapak,” katanya memetik Berita Harian.
Tambah beliau, pendapatan bersih selepas menolak segala kos penanaman seperti baja, benih dan upah pekerja adalah sebanyak RM20,000 ke RM25,000.
Adik Asrul, Amizi dan Akmal yang juga mengusahakan 1,500 pokok terung, limau kasturi, sawi dan timun di tanah seluas 0.6 dan 0.4 hektar turut mengalami kemusnahan yang sama.
Masing-masing tidak menyangka bahawa pada tahun ini akan berlaku banjir yang membawa kepada kemusnahan dan kerugian besar kepada kawasan tanaman mereka.
Baca juga: