Sarah Adi buru pingat emas di Olimpik Los Angeles

Nor Sarah Adi atau lebih dikenali sebagai Ratu Lompat Galah Kebangsaan, meletakkan sasaran peribadi untuk layak beraksi secara merit ke pentas Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28), Amerika Syarikat.

Sarah, 23, tegas dengan harapannya untuk melakarkan sejarah memandangkan jurulatih beliau, Roslinda Samsu pernah meraih tiket automatik pada Olimpik Beijing 2008 di China.

Lagenda olahraga negara, Roslinda berjaya melepasi had kelayakan iaitu 4.30 meter sekali gus membawa beliau terus mara ke temasya Olimpik yang menyaksikan juara dunia pada ketika itu, Yelena Isinbayeva dari Rusia.

Atlet bergalah itu komited untuk memburu lagi satu pencapaian membanggakan bagi merialisasikan harapan beliau ke LA28.

“Target saya sekarang ini adalah dengan menggenggam pingat emas pada Sukan Asia 2026 di Aichi-Nahgoya, Jepun.

“Saya ada tiga tahun lagi sebelum Sukan Asia 2026, jadi tiada yang mustahil. Kalau ikut umur nanti dalam lingkungan 26 hingga 29 tahun, ia memang waktu yang bagus untuk saya peak (prestasi terbaik).

“Sekurang-kurangnya saya perlu tunjukkan progres dan kutip pengalaman sebanyak yang mungkin bermula sekarang sebab bila saya betul-betul matang, saya akan lebih kenal lompat bergalah. Lagipun saya cuma ada baki setahun lagi untuk tamatkan pengajian, jadi saya yakin boleh untuk melakukannya nanti,” katanya kepada Kosmo.

Biarpun meraih pingat perak pada Sukan Asia Kemboja 2023, pencapaian itu tidak memuaskan kerana tidak dapat meneruskan rentak cemerlang pada Sukan Universiti Dunia dan Sukan Asia Hangzhou.

Bagaimanapun, Sarah tidka akan putus semangat dan akan terus kekal komited untuk memastikan prestasinya kekal konsisten sebagai persediaan unutk memburu rekod kebangsaan baharu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat