Beroperasi dalam keadaan kotor, DBKL arah 3 premis di ibu kota tutup

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan tiga premis makanan ditutup kerana gagal mencapai tahap kebersihan yang memuaskan ketika Operasi Sepadu Bersih pada Khamis.

DBKL memaklumkan dalam kenyataannya pada hari ini sesetengah daripada 30 premis yang diperiksa berada dalam keadaan yang kotor, berbau malah terdapat najis tikus di dapur.

Hasil pemeriksaan DBKL turut mendapati ada pekerja premis makanan tersebut yang tidak mendapatkan suntikan tifoid.

“Hasil pemeriksaan terhadap 30 premis ini membawa kepada penutupan tiga buah premis, mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan dua premis mengikut UUK 28(1) Undang-undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016.

“Sebanyak 35 kompaun turut dikeluarkan kepada premis-premis yang terlibat atas pelbagai kesalahan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016 dan Undang-undang Kecil Pengendali Makanan 1979,” katanya, menurut laporan Harian Metro.

Operasi yang membabitkan 23 anggota dari Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL itu diadakan di premis sepanjang Jalan Hujan Rahmat, Jalan Radin Bagus, Jalan Radin Tengah, GLo Damansara, Jalan Lang Kuning, Viva Mall Damansara,Jalan Development dan Jalan Metro Perdana.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat