Kerajaan negeri Melaka menyasarkan sejumlah lapan juta pelancong pada tahun hadapan bersempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata, sasaran itu berdasarkan rekod sebanyak 50 ribu kenderaan yang masuk ke Melaka setiap hari.
“Jumlah kemasukan kenderaan itu berdasarkan perangkaan yang dibuat setiap minggu terutama musim cuti sekolah.
“Jika sasaran pengunjung melebihi lapan juta, ia menunjukkan yang Melaka merupakan lokasi utama pilihan pengunjung untuk bercuti,” katanya ketika siaran Malaysia Hari Ini (MHI), pada hari Khamis.
Untuk menarik minat ramai, Ab Rauf turut berkata hadiah cabutan bertuah berupa kereta yang bernilai lebih RM100 ribu setiap satu akan menanti pengunjung yang bertuah sepanjang TMM 2024.
“Cabutan bertuah akan diadakan setiap tiga bulan sepanjang TMM 2024 mengikut syarat yang telah ditetapkan.
“Kami mempunyai 80 inap desa yang berkolaborasi dengan TMM 2024 untuk mempromosikan inisiatif ini, jika pengunjung membelanjakan sebanyak RM500 mereka akan berpeluang untuk memenangi cabutan bertuah kereta tersebut,” ujar beliau.
Tambahnya lagi, sambutan TMM 2024 akan bermula hari ini dengan penganjuran Karnival Islamik Antarabangsa yang akan diadakan di pekarangan Stadium Hang Jebat.
Katanya, acara alunan mengaji al-Quran selama 24 jam akan dimulakan pagi esok sehingga 30 Disember ini pada karnival itu.
“Semua sekolah tahfiz di Melaka akan terbabit secara langsung untuk meraikan Karnival Islamik Antarabangsa ini.
“Kami juga akan adakan program ‘Melaka Bandaraya Berselawat’ yang akan diadakan secara besar-besaran dihadiri tetamu jemputan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, sambutan ambang tahun baharu dan pelancaran TMM 2024 akan diadakan di Jeti Pengkalan Rama, termasuk pertunjukan bunga api dan persembahan oleh artis tempatan berasal dari Melaka seperti Zamani, Ziana dan Anuar Zain.
Baca juga: