‘Percutian ke London hajat terakhir kakak’, wartawan hiburan meninggal dunia di hospital di London

Wartawan hiburan Fiza Kamarudin disahkan meninggal dunia akibat pendarahan otak di Hospital Charing Cross, London, United Kingdom pukul 6.30 petang waktu tempatan (11.30 malam waktu Malaysia) pada Khamis.

Adiknya Siti Nor Hazlinda, 39, berkata, suami Allahyarham, Mohd Roshdi Ramli dalam proses perbincangan dengan kedutaan Malaysia di sana untuk membawa pulang jenazah ke tanah air.

“Kami baru dapat bercakap dengan suami arwah. Keputusan membawa pulang jenazah masih dalam proses perbincangan terutama membabitkan kos. Suami arwah sedang berhubung dengan pihak kedutaan Malaysia di sana.

“Terima kasih kepada semua pihak yang sudah membantu termasuk memberikan sumbangan kepada keluarga arwah. Doakan perjalanan terakhir kakak saya dipermudahkan,” katanya.

Menurutnya, difahamkan pendarahan otak itu berpunca daripada sel kanser yang sudah merebak ke seluruh anggota badan hingga mengakibatkan kakaknya rebah di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London, sebelum sempat menaiki pesawat pulang ke tanah air.

Katanya, percutian ke London adalah hajat terakhir kakaknya bagi meraikan kedua anaknya, Riyadh Haziq, 10, dan Raisya Hannah, 8.

“Sebelum ini kami sekeluarga memberi nasihat agar fikir dahulu sebelum ke sana. Tetapi dia cakap dah janji nak membawa anak-anaknya bercuti. Dia memang nak menggembirakan mereka. Malah, itu juga adalah hajat terakhirnya untuk bersama suami dan anak-anak,” ujanrya.

Media sebelum ini melaporkan Fiza, 40, yang juga wartawan di portal Boom Malaysia dan Jurnal Malaysia milik KRU sebelum ini terpilih menerima tajaan pakej melancong bersama keluarga ke London.

Dia, suami dan dua anaknya berlepas pada pertengahan Disember lalu dan sepatutnya pulang ke Malaysia pada 27 Disember.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat