Selebriti popular Alif Satar yang dilaporkan terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Jumaat dinyatakan berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami kecederaan serius.
Perkara itu dikongsikan oleh Alif atau nama sebenarnya, Muhammad Alif Mohd Satar, 33, menerusi perkongsian di Instagram.
Katanya, sejurus kemalangan dia mengalami pening dan sakit kepala.
“Alhamdullah, Allah uji sikit saja. Terima kasih semua yang mendoakan kesejahteraan, semoga Allah SWT makmulkan dan permudahkan urusan kalian.
“Setelah membuat pemeriksaan dengan doktor di Hospital KPJ Tawakal semalam, semuanya dilaporkan baik dan tiada sebarang kecederaan serius, tiada yang patah, masa jatuh ada sakit kepala dan pening,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Alif turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang bertanya khabar dan mendoakan kesihatannya.
Biarpun baru mengalami kecederaan, Aliff bagaimanapun tetap meneruskan usahanya untuk mengimarahkan masjid dengan mengadakan solat Subuh berjemaah.
“Insya-Allah dengan cukup rehat, masih boleh jemaah subuh bersama pada 1 Januari 2024 di Masjid Saidina Umar, Bukit Damansara,” katanya.
Sebelum ini Alif dilaporkan mengalami kemalangan jalan raya di Sri Hartamas 1, berhampiran Istana Negara.
Alif yang menunggang motosikal jenis Vespa dalam perjalanan pulang dari solat Jumaat untuk ke rumah bagaimanapun hilang kawalan selepas sebuah kereta jenis Mazda CX5 menukar lorong dari kanan ke kiri secara tiba-tiba.
Baca juga: