Kelantan hargai usaha PM bantu rakyat terjejas akibat banjir

Kerajaan Kelantan ucap terima kasih tanda penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas penyaluran wang ihsan berjumlah RM177.96 juta kepada negeri terjejas banjir itu.

Penyaluran dana tambahan bernilai RM177.96 juta itu menjadikan jumlah keseluruhan wang ihsan diterima dari Kerajaan Persekutuan adalah RM217.96 juta pada tahun ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud menerusi kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya menyambut baik pengumuman Anwar berkaitan kelulusan peruntukan bernilai RM6 juta bagi membina benteng sementara.

“Kerajaan negeri menyambut baik pengumuman Perdana Menteri semasa turun ke ke Kelantan bagi meninjau situasi banjir dan melawat mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Ia termasuk kelulusan peruntukan segera untuk membina benteng sementara bagi Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Rantau Panjang bernilai RM6 juta.” Katanya dalam suatu kenyataan pada Jumaat.

Nussuruddin turut menyokong keputusan kerajaan mengenai proses perolehan bagi lima projek baharu tebatan banjir di Kelantan bernilai RM 910.52 juta yang akan dimulakan tahun depan.

Tambahnya, kerajaan negeri akan mengambil segala langkah yang perlu untuk menyegerakan urusan pengambilan balik tanah untuk projek-projek ini. 

Media sebelum ini melaporkan kerajaan Kelantan pada November memaklumkan hanya mendapat bantuan wang ihsan RM40 juta daripada Kerajaan Pusat, berbanding tahun lalu iaitu sebanyak RM331.38 juta.

Bagaimanapun kerajaan Kelantan yakin pemberian ini akan memberi manfaat dan perkukuh semangat federalisme antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat