Perginya anak seni yang tiada galang ganti

Tahun 2023 yang bakal melabuhkan tirai menyimpan pelbagai kenangan tidak dapat dilupakan sama ada suka mahupun duka.

Tidak mengira sama ada kisah perubahan dunia atau negara, tidak terkecuali tentang berita pemergian pejuang seni yang pastinya kehilangan mereka dapat dirasai oleh seluruh peminat hiburan tanah air.

Berikut merupakan beberapa nama terkenal di Malaysia yang meninggal dunia pada 2023.

Ridzuan Hashim

Pelakon terkenal, Ridzuan Hashim meninggal dunia pada usia 62 tahun yang tiba-tiba rebah ketika sedang bersarapan bersama anak-anaknya pada 4 Mei 2023.

Kematian pelakon yang terkenal dengan watak King dalam filem KL Gangster ini disahkan oleh bekas isterinya yang juga pelakon, Didie Alias menerusi hantaran Instagram miliknya.

Jenazah Ridzuan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor.

Ridzuan meninggalkan lima orang anak hasil perkongsian hidupnya bersama Didie Alias iaitu Nur Dhaniyah, Muhammad Daniel, Nur Dania, Nur Diyana dan Nur Dayani.

Berada dalam industri seni sejak 1986, pemergian Ridzuan Hashim sudah tentu meninggalkan kesan buat para peminat.

Rohana Jalil

Penyanyi popular era 80-an, Rohana Jalil , 68, meninggal dunia pada 20 Jun 2023 di Hospital Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sebelum ini, Allahyarham dikatakan sudah setelah dua bulan berada di HCTM kerana kebocoran usus yang dialaminya.

Jenazah Rohana atau nama sebenarnya, Dara Abdul Jalil dibawa ke Masjid Al-Falah, USJ9, Subang Jaya untuk urusan solat jenazah dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam USJ21, Subang Jaya, Selangor.

Allahyarham Rohana meninggalkan suami, Jahangir Khan dan tiga cahaya mata perempuan termasuk pelakon dan penyanyi, Kilafairy.

Fairuz Misran

Penyanyi yang sering dikatakan sebagai klon P Ramlee, Fairuz Misran, 38, meninggal dunia pada 8 Septer 2023 di Hospital Nukleus Labuan.

Turut dikenali sebagai P Ramlee Sabah, berita kematiannya disahkan melalui hantaran Facebook abangnya, Ruzaidi Misran.

Allahyarham dikatakan mengalami sakit dada dan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Pengkalan Merbau, Kampung Sungai Bangat, Labuan.

Tia Jinbara

Bekas vokalis kumpulan Jinbara, Tia atau nama sebenar, Shamsul Bakhtiar Zakaria, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Shah Alam, pukul 9.17, 8 November 2023.

Isteri yang juga pengurusnya, Suzan Ahmad berkata, Tia yang disahkan menghidap kanser hati seolah mengetahui masanya tidak panjang.

Isterinya juga melancarkan tabung bagi mengutip derma untuk menjalani pembedahan pemindahan hati di Hospital Medanta, New Delhi, India, namun hasrat tidak kesampaian.

Tia pergi meninggalkan isteri yang sudah berkongsi hidup bersamanya selama 14 tahun.

M Daud Kilau

Bintang legenda digelar Raja Gelek, Datuk M Daud Kilau, 85, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Teluk Intan, Perak, akibat jangkitan kuman pada darah pada 18 Disember 2023.

Pemergian penyanyi lagu Cek Mek Molek ini dikongsikan oleh cucunya, Hasnor Ikram melalui Instagram Story miliknya.

Allahyarham dimasukkan ke HTI selepas mengadu sesak nafas dan pernah menjalani prosedur pembedahan angioplasty di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

Jenazah Allayarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Balai Baroh, Bagan Datuk, Perak.

Sudah bertapak di industri sejak 1968, kehilangan bintang negara ini turut dirasai ramai termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mangucap takziah kepada keluarga Allahyarham melalui hantaran Instagram miliknya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat