Bendera Sarawak kini digelar Ibu Pertiwi

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan bahawa nama rasmi bagi bendera negeri berkenaan ialah Ibu Pertiwi.

Pengumuman tersebut dibuat ketika berucap pada majlis sambutan ambang tahun baharu peringkat negeri yang diadakan di Tebingan Kuching, Sarawak pada Ahad.

Sebelumnya, bendera Sarawak tidak diberi nama secara rasmi sebagaimana nama rasmi bendera Malaysia iaitu Jalur Gemilang.

“Ibu Pertiwi membawa maksud kedaulatan kepada Sarawak, ia juga menunjukkan kehebatan negeri Sarawak dengan warna (bendera) merah, hitam dan kuning.

“Semua anak Sarawak hendaklah tekad bekerja kuat mempertahankan Ibu Pertiwi dan sama-sama membangun negeri ini agar lebih maju,” katanya.

Sambutan ambang tahun baru bertemakan Let’s Celebrate Together menyediakan pelbagai acara menarik, termasuk persembahan pentas, pertunjukan bunga api, dan acara kiraan detik tahun baru.

Selain perasmian tiang bendera Sarawak, sambutan ini dimeriahkan dengan persembahan artis popular tanah air seperti Datuk Amy Search dan Datuk Zainal Abidin.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat