Orang awam yang ingin memperbaharui Lesen Kenderaan Motor Digital (e-LKM) boleh berbuat demikian di Kongsi LKM (Lesen Kenderaan Motor Digital) di aplikasi MyJPJ bermula Selasa.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, fungsi baharu itu membolehkan pemilik kenderaan berkongsi e-LKM bersama keluarga, rakan-rakan atau individu lain yang dibenarkan oleh pemilik kenderaan.
Katanya, pemilik kenderaan hanya perlu klik nombor plat kenderaan dan seterusnya klik butang Kongsi LKM untuk membuat perkongsian e-LKM kepada individu lain.
“Fungsi ini juga mempunyai tempoh had masa perkongsian yang boleh ditetapkan oleh pemilik kenderaan dan mempunyai kod pengaktifan yang perlu diberikan kepada penerima e-LKM berkenaan untuk mengaktifkan perkongsian.
“Sistem juga akan menghapuskan rekod perkongsian sekiranya tidak diaktifkan dalam tempoh 24 jam,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor pada Selasa.
Katanya, fungsi baharu dalam aplikasi MyJPJ itu dapat membantu pengguna untuk mengemas kini maklumat kenderaan bukan miliknya atau membantu ahli keluarga lain untuk proses pembahaguan lesen.
“Sebelum ini orang awam dibenarkan untuk mencetak e-LKM berkenaan bagaimanapun pelbagai persoalan timbul, justeru penambahbaikan dilaksanakan bagi memudahkan pengguna,” katanya.
Tambah Loke, pihaknya juga akan memperkenalkan kertas keselamatan bagi menggantikan pelekat lesen kenderaan dan lesen memandu fizikal.
“Berdasarkan kajian dan analisis statistik sepanjang tahun 2023, JPJ mendapati bilangan pemandu dan pemilik yang memilih digitalisasi semakin meningkat kepada 7.5 juta pengguna. Bagaimanapun bagi pemandu dan pemilik kenderaan yang masih belum bersedia sepanjang tempoh interim pendigitalan tahun 2024, mereka masih boleh memilih LKM dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) fizikal.
“Bagi tujuan penyesuaian dalam tempoh interim, JPJ Malaysia akan mengeluarkan LKM dan LMM fizikal berbentuk baharu dan diseragamkan dalam bentuk kertas keselamatan sahaja. Ia akan terus dilaksanakan selepas stok LKM dan LMM fizikal yang lama di cawangan-cawangan atau kiosk JPJ habis,” katanya.
Untuk info, LKM baharu itu tidak perlu dilekatkan atau dipamerkan pada cermin kenderaan sepertimana keperluan Seksyen 20(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sebelum ini, sebaliknya ia disimpan mengikut kesesuaian orang awam.
Baca juga: