Kerajaan Perlis yakin mampu menarik ramai pelancong tempatan dan luar negara sempena Tahun Melawat Perlis (TMP) 2024-2025 sekali gus mampu bersaing dengan pusat peranginan popular Hatyai, Thailand.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Perlis, Wan Badariah Wan Saad, meskipun Perlis merupakan negeri terkecil di Malaysia, namun perkara itu bukan satu penghalang untuk menjadikan negeri terbabit sebagai salah satu destinasi pelancongan utama.
Katanya, kos perbelanjaan juga dianggarkan lebih murah berbanding melancong ke Hatyai, Thailand lingkungan RM500.
“Jika di Hatyai, bajet RM1,000 itu sudah dikatakan cukup. Tetapi, di Perlis bajet RM1,000 itu sudah cukup mewah, malah dengan hanya RM500 ke bawah pun sudah cukup untuk pelancong Perlis mampu mendapatkan suatu percutian yang sangat berbaloi serta menarik.
“Penginapan di Perlis ada di bawah RM200 ditambah pula pelbagai sajian makanannya yang murah serta tempat menarik di negeri ini hanya mengenakan caj yang cukup minimum. Pendek kata sambil bercuti, boleh juga berjimat.
“Malah jika hendak mencuba makanan Thailand juga banyak. Jadi Perlis ini ‘tidak lekeh’ berbanding Hatyai atau tempat percutian lain malah tidak perlu pun untuk tukar duit untuk berbelanja di negeri ini,” katanya ketika hadir ke Program Sambutan Pelancong sempena TMP 2024-2025 di Santuari Ikan Air Tawar, Tasik Timah Tasoh, Beseri pada Isnin.
Tambahnya, kerajaan negeri yakin sasaran 3.5 juta pelancong berkunjung ke Perlis pada tahun ini kerana dibuktikan dengan pertambahan pengunjung dari semasa ke semasa.
“Dalam tempoh dua minggu cuti persekolahan lalu juga, kita menganggarkan lebih 100,000 pengunjung dari dalam dan luar Perlis datang ke negeri ini untuk melancong.
“Dengan perkembangan ini juga tidak mustahil sasaran 3.5 juta yang mahu dicapai kita (kerajaan negeri) bagi tahun ini dan tahun hadapan sempena TMP mampu dicapai dengan lebih cepat dalam tahun ini sahaja,” katanya.
Bagaimanapun, Exco Hal Ehwal Pengguna dan Kos Sara Hidup Negeri Perlis, Razali Saad mengingatkan peniaga dan pengusaha kedai makan di negeri itu tidak menjadikan Tahun Melawat Perlis 2024-2025 ini sebagai platform agar tidak menaikkan harga makan sesuka hati terutama di kawasan tumpuan makanan seperti di Kuala Perlis.
“Kita ada terima aduan berlakunya pencatutan harga terutama makanan di kawasan Kuala Perlis dan sudah pun diambil tindakan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri ini jadi sempena penganjuran TMP 2024-2025 ini kita tidak mahu ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan menaikkan harga sewenang-wenangnya,” katanya.
Untuk info, TMP 2024-2025 bermula pada 1 Januari lalu.
Baca juga: