‘Pastikan data kemas kini sebelum 31 Mac 2024’

Pangkalan Data Utama (PADU) akan diguna pakai secara langsung bermula Selasa (hari ini) selepas melalui beberapa fasa percubaan sejak dibangunkan enam bulan lalu.

Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron, berkata, segala maklumat dan data boleh dikemas kini dalam sistem tersebut yang kini sudah dibuka sehingga 31 Mac depan.

Katanya, sebarang aktiviti kemas kini penting bagi membolehkan kerajaan mempunyai maklumat terkini sekali gus memastikan tiada individu yang tercicir daripada menerima bantuan selayaknya.

“Pembangunan PADU dilaksanakan secara dalaman oleh Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) tanpa membabitkan perunding luar.

“Ini bagi memastikan wujud kumpulan pakar dan keupayaan penjawat awam selain pada masa yang sama bertujuan untuk memastikan keselamatan data terjamin.

“Pangkalan data bersepadu ini akan menjadi sumber rujukan berpusat yang mengandungi profil individu yang menyeluruh merangkumi maklumat demografi dan pelbagai maklumat seperti pendidikan, kesihatan, bantuan sosial yang diterima dan pendapatan isi rumah,” katanya pada majlis sempena peluncuran PADU di Putrajaya pada Selasa.

Bagaimanapun, Nor Azmie mengakui terdapat beberapa cabaran utama membangunkan PADU terutama dalam bahagian teknikal dan birokrasi yang perlu ditangani.

Beliau berkata, setiap pangkalan data tertakluk kepada peraturan dan akta yang berkaitan menyebabkan kesukaran dalam perkongsian data antara agensi.

Katanya, sebahagian pangkalan data yang sedia ada pula lebih bersifat ‘in silo’ dan ‘non-interoperable’ (saling tidak beroperasi) antara satu sama lain.

Justeru, jelasnya, keadaan itu menyulitkan perkongsian dan pengintegrasian data sehingga menyebabkan proses penyelarasan data PADU mengambil masa yang panjang.

“Bagi menangani cabaran itu, sesi libat urus yang berterusan pada pelbagai peringkat. Memorandum persefahaman turut diadakan bersama agensi berkaitan bagi membolehkan perkongsian data,” katanya.

Selain itu, Nor Azmie berkata, pelaksanaan integrasi data dari setiap agensi kerajaan perlu disokong melalui punca kuasa perundangan perkongsian data yang kukuh dan mampan.

Justeru, beliau berkata, Akta Omnibus yang dijangka digubal pada tahun ini akan menjadi akta yang membenarkan perkongsian data dan cloud storage dalam kalangan agensi kerajaan.

Katanya, risiko keselamatan dan kebocoran maklumat terperingkat juga sering dibangkitkan oleh pelbagai pihak.

“Oleh itu, aspek keselamatan data dan siber turut diberi perhatian serius melalui pengukuhan pembangunan sistem serta kerjasama strategik dengan semua pihak yang berkaitan,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat