PM lancar PADU bagi memastikan tiada rakyat yang layak mendapat manfaat tercicir

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan sistem yang mengandungi profil individu dan isi rumah warganegara termasuk pemastautin tetap di Malaysia iaitu Pangkalan Data Utama (PADU), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Selasa.

Dijadualkan acara tersebut akan dirasmikan pada pukul 12.15 melibatkan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin yang akan membentangkan mengenai PADU.

Fungsi PADU ialah bertindak sebagai pangkalan data utama negara yang selamat, yang membolehkan analitik data lebih tepat dihasilkan serta penggubalan dasar dan proses membuat keputusan berpacukan data.

PADU juga boleh dilaksanakan secara bersasar bagi mengimbangi kedudukan fiskal.

Maklumat profil diperoleh melalui pengintegrasian data pentadbiran daripada pelbagai sumber dan sebahagiannya akan dikemas kini oleh individu.

Pelaksanaan PADU adalah bagi meningkatkan kecekapan pengurusan yang memudahkan pengumpulan, penyimpanan dan pengurusan data daripada pelbagai sumber.

Salah satu kepentingan mendaftar PADU adalah untuk memastikan rakyat yang layak mendapat manfaat tidak tercicir daripada menerima subsidi bersasar, bantuan dan perlindungan sosial melalui sistem PADU.

Semua rakyat yang berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data di portal PADU, serta mengemas kini dan mengesahkan 39 maklumat diri yang diperlukan.

Rakyat Malaysia yang mempunyai akses kepada internet boleh membuat pendaftaran dan pengemaskinian profil secara atas talian di pautan https://www.padu.gov.my/.

Rakyat yang berada di kawasan luar bandar dan tidak mempunyai akses kepada internet pula boleh mendaftar akaun PADU mereka di Pejabat Daerah atau Penghulu, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung atau di mana-mana premis agensi kerajaan yang berdekatan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat