Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mengesahkan wujud rancangan dalam Perikatan Nasional (PN) untuk menumbangkan Kerajaan Persekutuan.
Katanya, usaha tersebut dibuat berdasarkan kelompongan Akta Antilompat Parti yang digunakan kerajaan MADANI untuk menarik sokongan lima Ahli Parlimen PN menerusi proses demokrasi berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
“Saya rasa apa juga (langkah) yang dibolehkan menerusi Perlembagaan Persekutuan perlu dibenarkan untuk berlaku. Apa-apa yang tidak berperlembagaan perlu dilarang.
“Jika mereka (kerajaan Persekutuan) menganggap sokongan lima Ahli Parlimen PN itu sebagai berperlembagaan berasaskan prinsip demokrasi, sebarang langkah balas juga perlu dianggap sama (berperlembagaan)” katanya di Wisma Darul Aman, Alor Setar, pada Rabu.
Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PN berkata, kelompongan Akta Antilompat Parti secara tidak langsung dimanfaatkan PN.
“Saya rasa bukan Langkah Dubai, sebaliknya cuma Langkah Chow Kit sebab perbincangan diadakan di Kuala Lumpur.
“Saya rasa Langkah Dubai itu cuma nak cetuskan kekeliruan, orang pergi Dubai untuk becuti,” katanya.
Sebelum ini, heboh mengatakan wujud gerakan yang dipanggil Langkah Dubai yang dipercayai diwujudkan oleh pihak pembangkang untuk mengguling Kerajaan MADANI.
Baca juga: