Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar ibrahim meluahkan rasa kesal dan simpati terhadap nasib rakyat Iran yang menjadi mangsa letupan di wilayah Kerman pada Rabu.
Kata Anwar, Malaysia membantah dan mengkritik tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab terhadap insiden keganasan itu sehingga mengakibatkan ratusan nyawa terkorban.
“Sudah hampir tiga bulan dunia menyaksikan pembantaian Israel ke atas mereka yang tidak berdosa di Palestin dan yang terbaru di Lubnan dua hari yang lalu.
“Di tahun baharu ini, Malaysia ingin mengajak dunia untuk ikut membantah budaya ganas dan rakus dan selamatkan kemanusiaan sejagat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Khamis.
Dalam pada itu, Anwar turut menggesa agar tindakan keras diambil terhadap mereka yang melancarkan peperangan sehingga mengakibatkan banyak nyawa tidak berdosa menjadi korban.
“Malaysia mengutus takziah kepada negara sahabat Republik Islam Iran dan warganya.
“Malaysia turut berdukacita dan bersolidariti serta menggesa agar dalang aksi ganas ini diheret ke muka pengadilan,” ujarnya.
Untuk rekod, kejadian letupan itu berlaku saat penduduk setempat mengadakan majlis ulang tahun memperingati kematian panglima perang, Jeneral Qassem Soleimani yang keempat.
Kejadian berlaku di lokasi sejauh kira-kira 694 meter dari kubur Soleimani di laluan bawah tanah sebuah tanah perkuburan yang terletak 804 kilometer dari Teheran.
Baca juga: