Cara unik Margasatwa menggambarkan kecantikan wanita melalui Kasa Rubia

Kumpulan rock indie tempatan, Margasatwa kembali dengan single terbaru, Kasa Rubia yang menyampaikan pujian terhadap kecantikan wanita menerusi lirik lagu yang cukup bermakna buat pendengar.

Vokalis kumpulan tersebut, Akmal Hakim Mokhtar, atau lebih dikenali sebagai Kimal, menyatakan keindahan seorang wanita itu ketika menggayakan busana Kebaya Nyonya menggunakan kain jenis kasa rubia dalam lirik lagu tersebut.

“Itulah gambaran keindahan seorang wanita yang digambarkan dengan elemen budaya seperti kasut manik dan cucuk sanggul,” katanya.

Kimal turut mendedahkan bahawa dia lebih suka sekiranya pendengar dapat mentafsir lagu tersebut mengikut kefahaman sendiri untuk membuat lagu itu lebih bermakna.

“Saya membuat lagu ini lebih kepada wanita, namun lagu ini sebenarnya mempunyai tiga peringkat yang menceritakan keindahan yang berbeza.

“Peringkat pertama pada lagu menceritakan mengenai keindahan muzik, peringkat kedua pula menggambarkan keindahan wanita dan peringkat ketiga pula menceritakan keindahan Ilahi,” jelas Kimal.

Gabungan unsur muzik pop klasik dan sentuhan rock menjadikan lagu Kasa Rubia unik dan sangat dinamik hasil kerjasama ahli Margasatwa dan MonoloQue.

Pada awalnya, lagu ini dihasilkan bersama Allahyarham Tony Alberto (Tony Spider) sebelum diganti oleh MonoloQue setelah pemergian Allahyarham.

Lagu ini juga merupakan single pertama daripada album kedua Margasatwa yang bertajuk Seribudaya yang mengandungi 11 lagu dan dijangka akan dikeluarkan pada pertengahan 2024.

Lagu Kasa Rubia kini boleh didengari di semua saluran digital seperti Spotify, Apple Music dan YouTube.  

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat