Michelle Yeoh kongsi gambar cucu, bukan anak

Aktres popular dunia, Tan Sri Michelle Yeoh mencetuskan kegemparan dalam kalangan peminat hiburan tempatan apabila beliau memuat naik gambar kaki bayi di Instagram miliknya, baru-baru ini.

Gambar tersebut disertakan kenyataan; “Satu keajaiban yang berlaku pada hari pertama 2024. Kami berasa sungguh bersyukur, tidak dapat digambarkan bagaimana perasaan gembira dengan keindahan ini”.

Perkara itu lantas menuai persoalan dalam kalangan pengguna media sosial yang raga-ragu sama ada pemilik trofi Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Akademi (Oscar) Ke-95 itu menimang cahaya mata selepas berkahwin dengan Jean Todt.

Bagaimanapun, setelah berkongsikan gambar kaki bayi itu, Michelle kemudian berkongsikan foto dirinya bersama ahli keluarga suami, Todt sekali gus menjelaskan tentang bayi berkenaan yang diberi nama Maxime.

Difahamkan, Maxime merupakan bayi kepada Nicholas Todt yang merupakan anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu suaminya.

“Terima kasih Nicholas dan Darina kerana menjadikan kami sebagai datuk serta nenek paling bahagia. Selamat datang Maxime,” katanya.

Untuk rekod, Michelle atau nama penuhnya Michelle Yeoh Choo Kheng, 61, mendirikan rumah tangga dengan Todt yang juga merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Ferrari pada 28 Julai tahun lalu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat