2 pengedar dadah dicekup di Setia Alam

Dua lelaki dipercayai pengedar dadah diberkas dalam serbuan di sebuah kawasan perumahan di Setia Alam, Selangor pada Selasa.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, kedua-dua suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika berada di lobi perumahan bertingkat itu sebelum ditahan anggota polis terlibat.

Siasatan awal berdasarkan tangkapan terbabit kemudian membawa kepada penemuan dadah yang dipercayai disembunyikan dalam salah satu unit rumah di lokasi.

“Pemeriksaan dijalankan kemudian menemukan satu beg plastik sampah berwarna biru mengandungi 70 ketulan plastik berwarna hitam dan 20 ketulan plastik berwarna putih disyaki heroin dengan anggaran berat 1,500gram,” katanya.

Tambah beliau semakan dijalankan mendapati suspek berkenaan memiliki pelbagai rekod jenayah lampau.

“Saringan ujian air kencing yang dijalankan ke atas kedua-dua suspek berkenaan mendapati mereka positif dadah.

“Siasatan awal mendapati kedua suspek bertindak sebagai pengedar dan kesemua dadah yang dirampas dipercayai untuk dijual di kawasan berdekatan,” katanya menurut Kosmo.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat