Kereta lesap depan mata ketika beli sarapan

Seorang petani meninggalkan keretanya dalam keadaan engin masih hidup untuk membeli sarapan, namun putih mata kereta dilaporkan hilang pada Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin, berkata kejadian pada pukul 8.15 pagi dilaporkan berlaku ketika lelaki berusia 41 tahun itu berada di warung nasi lemak berhadapan sebuah restoran di pekan Ijok.

Menurutnya mangsa dikatakan memarkir Perodua Myvi yang dipandunya itu pada jarak kira-kira lima meter dari tempat membeli makanan.

Kenderaan itu kemudian dilihat diundurkan dengan pantas sebelum dibawa lari ke arah jalan besar yang menghala ke Ijok.

“Hasil siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah kawasan perumahan dan kedai lot.

Perodua Myvi terbabit pula adalah milik isteri mangsa dan digunakan sejak 2007,” katanya ketika dihubungi Kosmo.

Telefon bimbit dan juga kunci rumah turut sama dibawa lari ekoran ditinggalkan di dalam kereta.

Berdasarkan maklumat orang awam, suspek kejadian itu disyaki adalah seorang lelaki.

“Terdapat kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu tetapi tidak menghala ke lokasi kejadian,” tambah Mohd Ambia.

Baca juga: