Sanusi dakwa penahanan 4 kakitangan KFA sebagai dakyah negatif Kerajaan Negeri

Penahanan empat individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dikatakan hanya tindakan ‘udang sebalik batu’ melainkan hanya satu gerakan untuk mewujudkan naratif negatif Kerajaan Negeri.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mendakwa dirinya merupakan sasaran pihak tertentu selain menyebut ada pihak lain dipercayai sepatutnya dikenakan tindakan dan bukanlah keempat-empat mereka.

“Menganiaya depa (mereka) tak boleh buat lagu tu, berdosa. Saya tak seiring dengan depa, semua itu aksesori saja, targetnya saya. Cari kes saya, berbulan-bulan cari tak jumpa, kebenaran hangpa dah jumpa… Sanusi tak ada kes.

“Tapi hangpa (mereka) ada-adakan juga, salah satunya mempamerkan persepsi bina naratif bahawa di Kedah ini rasuah banyak, bola sepak pun rasuah,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi memberitahu, dakwaan itu menyebabkan pihak yang bersetuju untuk memberi sumbangan kepada KFA berasa takut untuk berbuat demikian.

“KFA yang sedang menanggung beban hutang, menanggung pasukan futsal, pasukan Piala Presiden, Piala Belia, semua dah setuju nak sumbang kepada KFA, bila depa buat cerita ini orang jadi ‘serot’ (takut),” katanya.

Katanya lagi, beliau bersedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memperjelaskan kedudukan sebenar KFA.

Tegasnya, tiada unsur penyelewengan dalam KFA kerana wang dimaksudkan itu adalah wang yang sememangnya berada dalam akaun badan berkenaan, bukannya akaun peribadi.

Jumlah yang diuar-uarkan juga tidak tepat iaitu hanya RM5 juta, bukannya RM6 juta seperti didakwa.

“Saya sedia beri kerjasama 28 jam sehari. Datanglah bila pun, nak tanya apa? Mai (datang) saya nak jawab,” katanya menurut Berita Harian.

Selain itu, Muhammad Sanusi menganggap apa yang dipamerkan hanyalah propaganda murahan pihak tertentu dan berharap golongan berkenaan ‘bertaubat’.

Jumaat lalu, media melaporkan SPRM menahan reman empat individu termasuk CEO KFA, masing-masing berusia antara 40 hingga 60 tahun bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah bernilai RM6 juta.

Wang rasuah berkenaan dipercayai sebagai balasan bagi membantu seorang pemilik syarikat mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji rawatan air di Kedah.

Baca juga: