Nama penyanyi popular dunia, Taylor Swift hangat diperkatakan apabila dirinya dijadikan sebagai salah satu lelucon (jenaka) di anugerah Golden Globes yang berlangsung di Hotel Beverly Hilton, Beverly Hills, California, Amerika Syarikat pada Ahad.
Saat dirinya dijadikan bahan jenaka, Swift, 35, jelas memberikan reaksi kurang senang sambil menghirup minuman.
Insiden tersebut berjaya dirakam kamera yang menunjukkan Swift agak terkesan dengan jenaka pelakon dan pelawak Jo Koy yang ditugaskan sebagai pengacara, membuat lawak seolah-olah menyindir penyanyi itu.
“Perbezaan besar antara Golden Globe dengan NFL di mana malam ini kita akan lihat hanya sedikit sahaja wajah Taylor Swift yang akan ditayangkan di kaca televisyen.
“Percayalah ini, kita akan lihat perkara itu. Maafkan saya,” katanya.
Susulan insiden itu, peminat Swift meluahkan rasa tidak puas hati apabila artis kesayangan mereka dijadikan sebagai bahan jenaka.
Rata-rata mereka meluahkan pandangan masing-masing di aplikasi X.
“Jangan bandingkan artis popular dengan yang tidak,” kata RositaMandes.
“Awak siapa untuk cakap begitu, pergi cermin diri,” kata JuanPa.
“Jelas Taylor sedikit pun tidak ketawa dengan lawak murahan seperti itu,” kata MaryCarla.
Difahamkan perkara itu berpunca daripada hubungan asmara Swift dengan atlet bola sepak Amerika, Travis Kelce yang mendapat perhatian apabila kemunculannya di stadium sentiasa menjadi sasaran kamera lebih-lebih lagi ketika aksi perlawanan melibatkan Kelce.
Untuk info, penyanyi lagu Shake It Off itu dikhabarkan mula menjalin hubungan dengan Kelce sekitar Oktober tahun lalu.
Baca juga: